Isnin, 11 Julai 2011

Nikmat sekali sekala, Syukur kena selalu

Assalamualaikum semua,


Abi ada cerita baru yang nak dikongsikan dengan para pembaca semua. Cerita ini adalah mengisahkan tentang separuh NIKMAT yang kadang kala kita perolehi daripada Allah S.W.T. di dunia dan kita harus kerap mengucapkan rasa SYUKUR di atas nikmat tersebut. Tetapi dek kerana diri kita yang sering merunggut dan selalu menuding jari kepada orang lain atas kesalahan atau keburukan yang berlaku tanpa pernah bermuhasabah diri sendiri dan akhirnya kesedaran itu wujud apabila nikmat tersebut hilang dalam sekelip mata tanpa diduga.

Cerita ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang belum dikurniakan cahaya mata setelah agak lama mendirikan rumah tangga mereka. Digambarkan si isteri seorang suri rumah yang amat mengutamakan kekemasan susun atur barangan dalam rumah dan aktiviti seharian mereka dijadualkan dengan teratur. Rumahnya disusun atur amat cantik sehingga jiran dan teman-teman mereka memuji akan sikap si isteri yang pandai mengemas rumah. Namun kehidupan mereka terasa amat sunyi kerana hanya tinggal berdua sahaja di rumah tersebut.

Mereka tinggal bersebelahan rumah jiran yang mempunyai anak yang ramai. Suasana rumah jiranya riuh rendah dek suara anak-anak dan kelitah nakal kanak-kanak. Pada suatu hari terdetik hati si isteri lalu berkata kepada si suaminya, “Indahnya jikalau kita dikurniakan cahaya mata kan bang. Tentu rumah kita juga akan meriah macam jiran sebelah.” kata si isteri.
Dengan kebesaran Allah S.W.T. maka sepasang suami isteri tersebut dikurniakan seorang putera yang dinanti-nantikan selama ini. Kehidupan sepasang suami isteri itu mula ceria dengan gelak-tawa si comel yang semakin dewasa.

Pejam celik pejam celik kini anaknya telah berusia 3 tahun. Kelakuan dan sifat manjanya kini berubah menjadi terlalu nakal sehingga merungsingkan ibunya. Susun atur barangan rumah yang dulunya tersusun rapi kini telah berubah menjadi huru-hara seperti tidak terurus dek kelakuan nakal anak kecil itu. Baju yang telah dilipat, disepah-sepahkannya. Surat khabar dikoyak-koyakkan sehingga bertaburan di ruangan tamu dan sofa diterbalik-balikan.

Ibunya hairan akan kelakuan dan sikap anaknya yang amat berbeza daripada sikap suami dan dirinya sendiri. Si ibu sering memarahi anaknya dan menyuruh anaknya berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama serta menjadi anak yang baik. Anaknya akur dengan arahan si ibu namun selang beberapa hari si anak kembali dengan kelaluan nakalnya yang tidak dapat dikawal oleh si ibu. Keluarga yang awalnya sunyi tanpa anak kini menjadi riuh-rendah dengan suara si anak dan si ibu.

Tahap kesabaran si ibu akhirnya sampai ke tahap puncak apabila suatu hari ada rakan pejabatnya ingin bertandang ke rumah. Si ibu mengemas rumahnya dengan cukup teratur dan bersih serta memberi amaran kepada anaknya agar berkelakuan baik pada hari tersebut. Si anak kecil tadi menerima arahan dan amaran daripada ibunya dengan baik sekali. Semasa menanti kedatangan tetamunya, si ibu sempat menyediakan sedikit hidangan di dapur manakala anaknya bermain-main di ruangan tamu. Si ibu tidak mendengar suara riuh-rendah anaknya seperti biasa dan menganggap anaknya kali ini patuh dengan amaran yang diberikan.

Apabila selesai menyediakan hidangan untuk tetamunya, si ibu mara ke ruang tamu untuk melihat anaknya yang dari tadi senyap tanpa kedengaran suaranya. Alangkah terkejutnya si ibu apabila melihat keadaan ruang tamu yang dikemasnya tadi telah menjadi tunggang-langgang dikerjakan oleh si kecil. Cebisan-cebisan surat khabar yang dikoyakkan bertaburan di atas lantai. Emosi si ibu yang mulanya girang kini bertukar menjadi baran tanpa dapat dikawal lagi.

Lantas dengan jeritan yang amat kuat, si ibu terus mengejar si anak yang berada di ruang tamu. Tersentak dengan jeritan ibunya, si anak terus berlari ke luar rumah untuk menyelamatkan diri daripada ditangkap. Dengan rasa marah dan geram si ibu terus mengejar anaknya hingga ke luar rumah. Tiba-tiba kedengaran bunyi satu dentuman yang kuat di kawasan rumah mereka.  Perhatian si ibu terus beralih ke arah bunyi dentuman tadi. Amat tersentak hati si ibu apabila melihat anak yang dikejarnya tadi sudah terbaring berlumuran darah di tengah jalan.

Si ibu terus berlari mendapatkan anaknya. Tubuh si kecil tadi didukung lalu terus dibawa ke hospital. Semasa perjalanan ke hospital, si ibu hanya bermohon kepada Allah S.W.T. agar menyelamatkan nyawa anaknya dan memberinya peluang kali kedua untuk menjadi seorang ibu yang baik. Sampai di hospital, anaknya terus dibawa ke unit kecemasan. Dengan linangan air mata dan darah yang belumuran di baju, si ibu duduk lalu berdoa kepada yang Maha Esa. “Ya Allah, aku bermohon hanya kepada-Mu. Berilah aku peluang untuk melihat anakku terus hidup dan janganlah Engkau ambilnya daripadaku. Berilah aku peluang untuk memberi kasih sayangku kepadanya dan menjadi ibu yang terbaik untuknya.”

Setelah satu jam anaknya dirawat dalam bilik kecemasan, akhirnya doktor yang merawat si kecil tadi keluar dengan wajah dan mata yang bersinar-sinar. Alangkah berdebarnya hati si ibu ketika doktor menuju ke arahnya. Dengan tenang doktor memberitahu bahawa anaknya lebih disayangi Allah dan telah pergi buat selama-lamanya. Hancur-luruh hati si ibu apabila mendengar kata-kata doktor tersebut. Terlalu perit dugaan yang Allah berikan kepadanya. Jenazah anaknya itu terus dibawa pulang dan selamat dikebumikan. 

Pada malam harinya, si ibu terjaga daripada lena dan terdetik untuk membasahkan tekak lalu ke dapur. Ketika sedang duduk minum, si ibu terpadang bakul sampah yang berisi cebisan-cebisan surat khabar yang dikoyak-koyakkan oleh anaknya siang tadi. Lalu berderai air mata si ibu dan meluru mengambil semula cebisan-cebisan surat khabar itu. Alangkah indah dan bahagia nikmat yang Allah beri dalam hidupnya semasa si kecil itu berada disisi. Kini tiada lagi suara riuh-rendah dan gelak-tawa si anak dan jeritan si ibu yang memarahi anaknya disebabkan kenakalan si kecil itu. Kehidupan suami isteri tadi kembali sunyi seperti sebelum mereka dikurniakan cahaya mata.

Anak kecil yang nakal itu merupakan nikmat sekali-sekala yang Allah beri kepada kita. Kenakalan tengkah-lakunya membuatkan kehidupan kita menjadi riang, ceria dan terhibur. Namun, kebanyakkan kita sering mempertikai akan sesuatu nikmat yang diberikan dan menyangka ianya merupakan musibah yang tidak baik. Agak kurang kita mengucap rasa syukur di atas setiap apa yang kita ada. Oleh itu, marilah kita selalu bersyukur di atas setiap pemberian nikmat Allah S.W.T. di alam maya ini. Kebanyakkan kita akan menghargai, mengenang dan merindui sesuatu itu apabila ianya sudah tiada lagi. Syukur. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Oleh
PeNsiL.wArNa.Abi

Facebook Comments

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...